Peristiwa 13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru Ketuanan_Melayu

Isu bahasa

Dalam Perlembagaan Persekutuan termaktub penangguhan 10 tahun selepas kemerdekaan untuk mengubah bahasa rasmi dari Inggeris ke Melayu. Dalam meniti tahun 1967, segelintir orang Cina mula mendesak agar diwujudkan sebuah dasar bahasa lebih liberal yang membenarkan sedikit penggunaan bahasa Mandarin dalam hal-ehwal awam. Ini dibidas kuat oleh golongan pelampau UMNO dan PAS, tetapi Perikatan mengusulkan suatu kompromi dalam Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi membenarkan bahasa Inggeris untuk keadaan-keadaan tertentu serta bahasa bukan Melayu untuk tujuan-tujuan bukan rasmi. Tunku Abdul Rahman menyifatkannya sebagai "jalan yang menjamin kedamaian",[88] tetapi Rang itu ditentang oleh sejumlah besar kaum Melayu yang membentuk Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan dengan harapan untuk memansuhkan atau meminda Rang berkenaan. Kepimpinan Tunku Abdul Rahman juga dipertikai secara meluas dan terbuka.[89]

13 Mei

Rencana utama: Peristiwa 13 Mei

Pada tahun 1969, berlangsungnya sebuah pilihan raya umum yang julung kalinya dipertandngkan oleh parti-parti pembangkang bukan berasaskan Melayu secara besar-besaran, selain pilihan raya 1964 apabila PETIR mencabar Perikatan di Semenanjung Malaysia. Dua buah parti pembangkang utama yang berentap pada tahun 1969 adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP) selaku pewaris PETIR di Malaysia yang ditanggap umum sebagai berasaskan Cina, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), sebuah parti yang tampak berbilang kaum pimpinan bekas jaguh MCA, Lim Chong Eu, serta golongan cendekiawan golongan menengah seperti Tan Chee Khoon dan Syed Hussein Alatas. Kedua-dua parti itu mengusulkan dasar-dasar tentang bahasa, pendidikan dan hak Melayu yang berlawanan sama sekali dengan dasar kerajaan, lebih-lebih lagi DAP menyambung perjuangan "Malaysian Malaysia" yang ditinggalkan oleh Lee Kuan Yew. Setengah pihak, khususnya dari DAP, menggesa agar dinaikkan tarafnya bahasa-bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil kepada status bahasa rasmi di samping bahasa Melayu. Juga dituntut adalah sokongan yang lebih padu untuk aliran pendidikan Cina.[90]

Gerakan pimpinan Lim Chong Eu dan Syed Hussein Alatas telah meraih beberapa kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 1969.

Pada masa yang sama, PAS cuba meraih undi dengan menuduh UMNO menjual hak peribumi Melayu kepada kaum "pendatang asing". Setelah keputusan diumumkan, PAS mencatat kejayan kecil sementara DAP dan Gerakan berjaya menumbangkan Perikatan di tiga buah negeri serta nyaris memecahkan majoriti dua pertiga yang lama dipegang oleh Perikatan di Parlimen.[91] Sebahagian besar kemenangan ini mengalahkan MCA yang sejurus selepas itu mengumumkan hasratnya untuk tidak menyertai kerajaan baru selepas pilihan raya kerana MCA tiada lagi memegang mandat untuk mewakili kepentingan Cina dalam kerajaan. DAP dan Gerakan dengan gembiranya menganjurkan perarakan kemenangan di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Mei, di mana para peserta mencaci hamun kaum Melayu sambil membawa sepanduk bercogan kata seperti "Semua Melayu kasi habis." Ekoran perarakan itu, satu kenyataan meminta maaf dikeluarkan. Namun demikian, kaum Melayu yang terperanjat menyalahkan pengundi Cina kerana membeloti "formula Perikatan dengan mengundi pembangkan yang telah membangkitkan semula persoalan asasi tentang bahasa dan hak istimewa Melayu".[92]

Para pelampau Melayu menyambut baik tindakan MCA kerana berpendapat bahawa kerajaan yang didominasi oleh UMNO dan Melayu akan lebih membela kepentingan mereka.[93][94] Pada 13 Mei, UMNO telah mengadakan perhimpunan sendiri yang kemudiannya bertukar menjadi rusuhan yang kini dikenali dalam sejarah sebagai "Peristiwa 13 Mei". Perhimpunan itu dikhabarkan dianjurkan oleh Menteri Besar Selangor, Harun bin Idris yang ditanggap sebagai cauvinis Melayu.[95] Pada hari itu, para penyokong UMNO berkumpul di rumah Harun di mana perhimpunan dijadualkan bermula; ramai antara mereka yang melela-lelakan parang dan lain-lain senjata. Sesetengah pemimpin mengecam "perlekehan" oleh para "kafir" di perarakan kemenangan yang lepas, sambil menggelar perhimpunan balas ini sebagai cara untuk "mengajar kaum Cina" kerana mencabar kekuasaan Melayu. Tidak lama kemudian, gerombolan itu mula menyerang pemandu kereta Cina yang berlalu-lalang serta membakar rumah-rumah dan kedai-kedai Cina. Maka merebaknya rusuhan yang berlarutan selama dua hari walaupun setelah dikerahnya tentera.[96][97]

Kesan daripada rusuhan itu, Parlimen digantung sementar darurat diisytiharkan. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dibentuk untuk menyelia pentadbiran negara dalam darurat. Biarpun rusuhan sudah reda, namun ketegangan masih berbahang. Boikot bukan Melayu terhadap barangan dan perkhidmatan Melayu menerima sambutan yang hangat, sementara ramai orang Melayu seperti Mahathir Mohamad dan Raja Muktaruddin Daim mulai menyeri agar dibentuknya kerajaan autokrasi yang diketuai oleh UMNO sahaja serta pelucutan Tunku Abdul Rahman. Menurut sesetengah sumber, segolongan "ultra" yang terdiri daripada Syed Nasir Ismail, Musa Hitam, dan Tengku Razaleigh berpendapat bahawa Perlembagaan yang berkongsi kuasa telah gagal, serta bersepakat bahawa negara wajar "dipulangkan" kepada Melayu. Mereka dikatakan bersetuju untuk memanggil Mahathir ke Kuala Lumpur di mana beliau mengetuai kempen anti-Tunku.[98]

Mahathir mengarang sepucuk surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman yang menuduhnya "memberi kepada orang-orang Cina apa yang mereka tuntut... terlangsung bagi muka."[99] Lama-kelamaan, para mahasiswa di institut-institut pengajian tinggi di seluruh negara mula mengadakan tunjuk perasan besar-besaran yang menyeru supaya Tunku Abdul Rahman meletak jawatan untuk membuka laluan kepada seorang pemimpin yang akan memulihkan "kedaulatan Melayu". Maka berlakunya rusuhan sekali-sekala yang dipercayai dicetuskan oleh lawan-lawan Tunku.[100]

Daripada akur kepada tindakan mereka, Tunku Abdul Rahman melucutkan keahlian Mahathir dan Musa Hitam dari UMNO. Menteri Dalam Negeri, Ismail Abdul Rahman mendakwa bahawa puak 'ultra' ini menganuti fahaman yang 'gila' berkenaan penaklukan mutlak oleh sesebuah kaum terhadap kaum-kaum lain tanpa mengambil kira ketetapan perlembagaan; tambahnya pula, polarisasi telah wujud dalam politik negara tatkala golongan rasialis pelampau dalam kalangan parti pemerintah sedang terdesak dalam cuba menjatuhkan kepimpinan ketika ini.[101]

Dilema Melayu dan Dasar Ekonomi Baru

Rencana utama: Dasar Ekonomi Baru

Dalam tersingkirnya dari politik, Mahathir mengarang buku The Malay Dilemma yang mana beliau menyentuh kontrak sosial berhujah "bahawa orang Melayulah penduduk asal atau penduduk bumiputera Tanah Melayu dan orang Melayulah sahaja yang dapat mendakwa Tanah Melayu sebagai satu-satunya negara mereka. Mengikut amalan di seluruh dunia, maka is bermakna orang Melayu mempunyai hak-hak yang tidak dapat dipisahkan mengenai bentuk dan tanggungjawab kewarganegaraan yang boleh dikenakan ke atas warganegara yang bukan berketurunan bumiputera."[102]

Mahathir meluahkan rasa bimbang dengan "terlalu ramai warganegara bukan Melayu yang boleh menguasai orang-orang Melayu"[103] apabila "...secara tiba-tiba sedarlah orang Melayu bahawa dia tidak boleh menganggap Tanah Melayu sebagai tanah airnya. Tidak ada lagi Tanah Melayu — tanah air bagi orang Melayu. Dia sekarang sudah jadi orang lain, orang Malaysia, tetapi orang Melayu Malaysia dengan kuasanya di Tanah Melayu — tanah airnya — sekarang bukan sahaja diperkongsikan dengan orang lain, malahan diperkongsikan secara tidak sama rata. Tambahan pula dia sekarang diminta supaya melepaskan lebih banyak lagi pengaruh yang ada padanya."[104] Mahathir membela hak Melayu berteraskan jalan fikiran "orang tetap" serta hujah-hujah yang menyokong dasar afirmatif yang terpilih oleh Suruhanjaya Reid: "Tujuan di sebalik layanan istimewa ini bukanlah untuk meletakkan orang-orang Melayu ke suatu kedudukan yang superior, tetapi adalah untuk menyamakan kedudukan mereka dengan orang-orang bukan Melayu. ... Orang-orang Melayu tidaklah megah dengan layanan ini."[105] Sebaik sahaja menjadi Perdana Menteri, Mahathir menafikan sebarang perubahan dalam pendiriannya semenjak buku itu dikarang.[106]Kemudian, Mahathir dan Musa Hitam menyertai semula UMNO dan kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Kedua dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berasaskan sesetengah pembaharuan yang disokong oleh buku Mahathir itu. Matlamat DEB tertulis sebagai menghapuskan "pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi".[107] Untuk mencapainya, DEB menyasarkan supaya golongan "Bumiputra" meraih 30% hasil ekonomi negara menjelang 1990, mencakupi pelbagai perkara seperti penyertaan dalam bursa saham awam serta skim perubahan persendirian. Sesetengah pengulas mendakwa bahawa ini memupuk sikap seakan-akan zero-sum antara Melayu dengan Cina.[108] Bagaimanapun, tujuan DEB tidak tertulis sebagai mengagihkan semula kekayaan secara langsung, sebalikny untuk membesarkan kongsian ekonomi dan kongsian pendapatan buat orang Melayu, maka mempertingkat penyertaan semua kaum dalam ekonomi.[109]

Rasional utama DEB seperti yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kedua adalah menyelesaikan "jurang ekonomi" antara Cina dengan Melayu. Pada tahun 1969, kongsian ekuiti Melayu dilaporkan berada pada 1.5% sementara kaum Cina pula pada 22.8%; yang selebihnya rata-rata dalam tangan bangsa asing.[110] Sesetengah pembangkang berhujah bahawa sedangkan kongsian Cina dalam ekonomi mengakis kongsian Melayu, namun jurang kekayaan antara Melayu terkaya dan termiskin kian besar — dalam tahun 1957 hingga 1970, kongsian 20% Melayu terkaya dalam keseluruhan kongsian Melayu dalam ekonomi dilaporkan meningkat dari 42.5% ke 52.5% sementara 40% Melayu termiskin mengalami kemerosotan dari 19.5% ke 12.7%.[111]

MAGERAN mengeluarkan laporan yang mengupas punca keganasan 13 Mei dengan berhujah bahawa pekerjaan penjawat awam yang lazimnya mengambil kerja Melayu pun dikuasai oleh bukan Melayu dalam kebanyakan bidang kecuali Polis dan Tentera yang masih mengekalkan majoriti besar Melayu. Kesimpulan laporan itu: "Allegations that the non-Malays are excluded are regarded by the Malays as deliberate distortion. The Malays who already felt excluded in the country's economic life, now began to feel a threat to their place in the public services. No mention was ever made by non-Malay politicians of the almost closed-door attitude to the Malays by non-Malays in large sections of the private sector in this country."[112]

Menurut Rancangan Malaysia Kedua, DEB bertujuan "Membentuk sebuah masyarakat perdagangan dan per industrian di kalangan orang Melayu" menerusi "perusahaan milik penuh dan usaha sama". Sebelum ini, menurut seorang ahli ekonomi tempatan, kerajaan memainkan peranan-peranan mentadbir, menyokong dan mengatur dalam cubaan menyelesaikan ketidaksamarataan ekonomi, tetapi mengelak daripada mewakili usaha langsung dan giat dalam memupuk kepentingan Melayu.[113] Pada ketika ini, kerajaan bukan sahaja mengehadkan kemasukan Cina dan India ke dalam universiti, jawatan awam serta dana awam, bahkan juga giat mencampur tangan dalam ekonomi demi meluaskan ruang berniaga bagi orang Melayu.[114] Salah satu bidasan terhadap meningkatnya campur tangan ini adalah bahawa UMNO sendiri kononnya mendapat untung besar daripada meluasnya peranan kerajaan.[115]

Sebelum ini pernah terdapat rancangan tindakan afirmatif yang terhad, tetapi semua ini rata-rata tertumpu pada perkhidmatan awam seperti mana Perkara 153 dalam Perlembagaan. Kemasukan ke institusi pengajian tinggi pula amat berasaskan merit. Kerajaan Tunku lebih menggemari dasar laissez-faire yang mengurangkan campur tangan dalam ekonomi.[45] Biarpun wujudnya beberapa agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA) yang cuba membantu golongan usahawan Melayu, namun rancangan-rancangan mereka dikritik kerana berasaskan wang serahan dan memberati mereka yang berhubungan politik. RIDA ditukar namanya kepada Majlis Amanah Rakyat atau MARA pada 1965 lalu menjadi lambang pembangunan keusahawanan Melayu.[116]

Biarpun bertujuan menyelesaikan ketidaksamarataan ekonomi, lama-kelamaan DEB ini dikaitkan dengan ketuanan Melayu. Kedua-dua konsep ini jarang disamakan secara langsung, tetapi sering diungkit sekali dengan implikasi bahawa DEB berpuncakan ketuanan Melayu. Campur tangan DEB yang hebat dalam ekonomi menyebabkan wajah keteguhan UMNO selaku pejuang ketuanan Melayu yang tiada tandingan dengan kebolehan parti itu untuk menopang peluang-peluang niaga yang lumayan.[117][118][119]

Pindaan perlembagaan dan perubahan dasar yang lain

Parliamen meluluskan beberapa pindaan pada Perlembagaan sebaik sahaja selepas Peristiwa 13 Mei untuk mengehadkan kebebasan bersuara serta mengukuhkan perkara-perkara tertentu yang berkenaan dengan hak istimewa Bumiputera.

Parlimen akhirnya bersidang semula pada tahun 1971. Biarpun DEB diluluskan tanpa kelulusannya, namun restu Parlimen diperlukan untuk meminda Perlembagaan. Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 yang digubah oleh kerajaan bersempena beberapa pindaan pada Akta Hasutan[120] mengehadkan kebebasan untuk bersuara mengenai "isu-isu sensitif" seperti bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu, Raja-Raja Melayu, dan peruntukan untuk kewarganegaraan. Sekatan-sekatan ini juga mencakupi Ahli-Ahli Parlimen, maka membatalkan imuniti Parlimen sebelum ini. Pindaan-pindaan ini memperjelas erti Perkara 152 serta merangkumkan "anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak" di bawah Perkara 153 yang mana hak-hak yang hanya dipegang oleh Melayu sahaja kini diberikan kepada semua Bumiputra.[121] Selain itu, Yang di-Pertuan Agong kini boleh mengarahkan sebarang universiti atau maktab untuk melaksanakan sistem kuota berkadar yang memberati Bumiputra. Semua institusi pengajian tinggi segera melaksanakan sistem kuota atas arahan Kementerian Pendidikan; maka ekoran itu, sesetengah pihak mempersoal kepatuhan tindakan itu dengan perlembagaan atas sebab bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak mengeluarkan sebarang perintah.[122]

Yang penting sekali, pindaan terhadap perkara-perkara yang menyentuh "isu-isu sensitif" yang disebut di samping ayat yang berkenaan dengan undang-undang pindaan ini adalah dilarang tanpa perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Maka dengan itu kukuhlah Perkara-Perkara yang "sensitif" ini yang dikecam hebat oleh ahli-ahli pembangkang yang berhujah bahawa jika Parlimen boleh disekat daripada membincangkan isu-isu tertentu, maka tercabulnya kedaulatan Parlimen. Tidak pasti juga sama ada sekatan ke atas pembahasan "isu-isu sensitif" tersebut juga mencakupi larangan itu sendiri. Walau apa pun, peruntukan-peruntukan itu diluluskan.[121] Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan kerajaan untuk memberkas sesiapa yang dianggapnya sebagai ugutan kepada keselamatan negara untuk suatu jangka masa yang tidak tentu tanpa semakan kehakiman, turut dipinda pada tahun 1971 untuk menekankan pemeliharaan keharmonian antara kaum.[123]

Kebanyakan perubahan ini ditentang hebat di dalam Parlimen mahupun dari luar negara. Sewaktu mula-mula diumumkan, akhbar British mendakwa bahawa perubahan-perubahan berkenaan memelihara sistem feudal yang menguasai masyarakat Melayu dari sebarang perubahan dengan memberikan kuasa sekatan hebat kepada raja-raja perlembagaan yang 'kuno'. Penapisan terhadap isu-isu sensitif pula dilabelkan sebagai bercanggah dengan seruan Tun Abdul Razak demi "kesedaran sepenuhnya bahawa hal-hal penting tidak boleh didiamkan begitu sahaja lagi..."[124] Pembidas-pembidas lain berhujah bahawa Perkara 153 sekadar "mangkuk nasi kertas" dan juga tidak sama sekali melanjutkan keistimewaan kepada golongan orang asli, maka rasionalnya agak meragukan.[125]

Satu lagi perubahan dasar datang dalam bidang pendidikan. Pada tahun 1970, pihak kerajaan menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di institusi-institusi pengajian rendah, menengah dan tinggi. Wakaupun kerajaan masih menaja pendidikan Cina dan Tamil, namun kebanyakan bukan Melayu menganggap dasar ini sebagai "paling mendiskriminasi" setakat ini. Rasional kerajaan untuk ini adalah demi membuka peluang pendidikan yang lebih cerah buat orang Melayu, khususnya mereka yang terpaksa membuat peralihan dari sekolah berbahasa Melayu ke universiti berbahasa Inggeris. Juga dihujahkan bahawa penyatuan para pelajar dengan satu bahasa boleh memupuk lagi keharmonian kaum sambil secara tidak langsung menekankan "kemelayuan negara".[113]

Pada tahun yang sama diumumkannya penukaran bahasa perantaraan itu, diumumkannya pula Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Tun Syed Nasir Syed Ismail menyifatkan dasar-dasar kerajaan sebagai bertujuan membentuk sebuah "identiti Islam kebumiputeraan" buat rakyat Malaysia.[126] Pada dasarnya, matlamat dasar ini adalah mengasimilasikan kaum bukan peribumi ke dalam jati diri peribadi Malaysia. Biarpun ditentang kuat oleh golongan pendesak Cina, namun kerajaan enggan menarik semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan.[127] Demi memupuk perpaduan negara, turut diperkenalkannya Rukunegara. Biarpun Rukunegara itu sendiri langsung tidak menyentuh ketuanan Melayu atau kontrak sosial, namun kerajaan pernah mengulas tentang "kedudukan Melayu dan Bumiputera lain, kepentingan sah kaum-kaum lain, serta pemberian kewarganegaraan" sebagai segi-segi utama dalam Perlembagaan sambil menegaskan bahawa "Rakyat tidak seharusnya mempertikai kesetiaan rakyat lain atas alasan bahawa dia tergolong dalam kaum tertentu." Seorang pengulas politik menyifatkan hal tersebut sebagai pengisytiharan rasmi buat kontrak sosial atau "Racial Bargain" (tawar-menawar perkauman).[128]

Politik dan "dominasi Melayu"

Ragam lama Perikatan yang mana setiap kaum diwakili oleh sebuah parti, akhirnya diketepikan dengan pembentukan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974. Sesetengah bekas parti pembangkang, termasuk Gerakan, PPP dan PAS, menyertai BN pimpinan UMNO. Walaupun MCA dan MIC turut serta, namun pengaruh mereka dihakis oleh parti-parti bukan Melayu yang lain dalam parti campuran ini. Pada tahun 1977, PAS dibuang dari BN, maka tinggal UMNO sebagai wakil Melayu tunggal dalam BN, biarpun sesetengah parti yang tampak bercampur kaum turut serba sedikit berwakil Melayu.[129] Setelah pengundurannya, PAS mengambil pendekatan yang berbeza terhadap keistimewaan Melayu dengan mengecam DEB sebagai diskriminasi kaum dan melanggar Islam.[130]

Pada tahun 1974, Mahathir dilantik ke dalam Jemaah Menteri Tun Razak. Dua tahun kemudian sahaja, beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Hussein Onn yang mengambil tempat Tun Razak yang meninggal dunia tiba-tiba.[131]

Dalam kemuncak DEB 1970-an, "dominasi Melayu" merupakan lumrah kehidupan yang diterima umum oleh rakyat Malaysia.[131] Sedangkan tempoh 1957 hingga 1969 dianggap sebagai ketika "dominasi Melayu" paling tidak dilembutkan oleh "tawar-menawar antara kaum" dalam lingkungan kerajaan Perikatan, namun sejak Peristiwa 13 Mei, para pengulas politik berhujah bahawa suasana politik ketika ini jelas berada dalam "penguasaan hegemoni" oleh kaum Melayu dan UMNO;[132] pada tahun 1970, seorang ahli Jemaah Menteri mengatakan bahawa hak istimewa Melayu akan kekal buat "seratus tahun akan datang".[133] Pada tahun 1977, Tunku Abdul Rahman mengamati bahawa golongan bukan Bumiputera terasa seolah-olah dijadikan rakyat kelas dua di negara.[134] Dasar perkauman kerajaan terus berlandaskan dan berjustifikasikan dua alasan yang ditulis oleh Mahathir dalam Dilema Melayu, iaitu taraf "bersejarah" keutamaan Melayu di Tanah Melayu serta "keperluan istimewa" Melayu.[135] Oleh sebab perbincangan atau pertikaian umum terhadap isu-isu tersebut telah dijadikan jenayah, maka tidak banyak terdapat karya terbitan tempatan yang membincangkan ketuanan Melayu secara kritis, sekali gus merumitkan cubaan untuk menilai ketuanan Melayu mahupun menambah alasan untuk dasar kerajaan selain dua alasan yang sedia dikemukakan.

Puak ultra yang didakwa merancang untuk mempergunakan huru-hara pasca 13 Mei pada ketika ini sudah pun mengawal kerajaan. Razaleigh selaku Menteri Kewangan disanjung sebagai "Bapa Ekonomi Bumiputera".[136] Musa Hitam dan Mahathir yang semakin meningkat nama dalam arena politik pula mengekalkan imej "ultra" mereka walaupun tidak begitu pasti sama ada demikianlah niat mereka atau sebaliknya. Wartawan K. Das pernah menceritakan bahawa Musa pernah memberitahunya "bahawa seorang ahli politik muda Malaysia perlu menyentuh perkauman habis-habisan walaupun dalam jasadnya tidak sebatang pun tulang cauvinis."[137] Setelah bersara, Musa berkata bahawa "para pemimpin negara sering kali menyalahkan orang lain apabila berdepan dengan kemelut yang getir" serta menggunakan taktik perkauman untuk mengisi "perut kosong" mereka.[138]

Pemuda UMNO khususnya mengekalkan imej "ultra" sejak 1960-an. Salah seorang Naib Presidennya membalas perbincangan untuk menganjurkan pelbagai pasukan dalam UMNO berasaskan fahaman politik bahawa "Tujuan asal UMNO adalah memperjuangkan kepentingan kaum Melayu dan ini harus diteruskan. Jangan ada puak-puak dalam UMNO."[139] Pada tahun 1980, Tun Hussein Onn mengumumkan penyerahan kuasa kepada Mahathir disebabkan masalah kesihatan. Mahathir menyandang jawatan mulai tahun 1981 dengan Musa Hitam selaku timbalannya.

Rujukan

WikiPedia: Ketuanan_Melayu http://www.aliran.com/high9902.html http://www.aliran.com/monthly/2005b/7d.html http://atimes.com/atimes/Southeast_Asia/FJ02Ae05.h... http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/printable.php... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.jeffooi.com/2006/10/equity_share_is_rac... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/the_nst_sh... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/we_are_16_... http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/i_went_int...